Skim GOpinjam tak ubah seperti lintah darat


KUMPULAN Touch ‘n Go telah memperluaskan jaringan perkhidmatannya dgn menawarkan program pinjaman peribadi terbaharu yg kononnya bersifat inklusif dipanggil GOpinjam. Namun kadar faedahnya adalah tidak munasabah & terlalu tinggi iaitu antara 8%-36%.

Sehingga kini tiada lagi penjelasan diberikan Menteri Kewangan ataupun pihak kerajaan tentang keperluan dan kewajaran program pinjaman peribadi ini dan maknanya terhadap perkembangan ekonomi negara.

Kepatuhan kepada kawalselia Bank Negara bukan persoalannya di sini. Yang dipersoalkan ialah semua ini akan menjerat rakyat ke kancah keberhutangan yang parah dan berterusan.

Kadar faedah program pinjaman peribadi GOpinjam adalah tertinggi dalam pasaran kredit dan ditawarkan dengan kadar keperolehan yang sangat mudah.

Skim ini disasarkan kepada golongan B40 yang keadaan kewangannya sudah tertekan. Ia saling tidak tumpah seperti skim pinjaman berlesen “ah-long” yang menjerat di leher peminjam dan mustahil untuk dilangsaikan bagi mereka yang sudah mengalami kesulitan kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya menyekat model pinjaman kredit sebegini demi melindungi golongan B40 dan anak muda yang berisiko tinggi untuk terjerumus ke dalam kancah hutang peribadi yang sememangnya sudah sangat tinggi dalam Malaysia.

Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk akhir tahun 2021 adalah pada kadar 89%, antara yang tertinggi berbanding dengan ekonomi serantau.

Ekonomi kewangan rumah tangga akan menjadi parah dengan timbunan hutang yang tinggi kadar faedahnya disamping pendapatan yang rendah. Akhirnya, ia akan memusnahkan kesejahteraan sesebuah keluarga.

Menteri kewangan mesti tampil dengan solusi keusahawanan untuk memberdaya rakyat berpendapatan rendah. Melancarkan skim Ah Long model canggih seperti GoPinjam adalah bertentangan dengan amanah dan aspirasi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. – 10 April, 2022.

*Mohamad Haji Hassan ialah Adun Rantau, Negeri Sembilan dan timbalan presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen