Imran Khan kalah undi tidak percaya Parlimen Pakistan


Imran Khan dipecat daripada jawatan sebagai perdana menteri Pakistan selepas kalah undi tidak percaya di Parlimen. – Gambar EPA, 10 April, 2022.

IMRAN Khan dipecat pada Ahad sebagai perdana menteri Pakistan selepas kalah undi tidak percaya di Parlimen selepas kemelut politik berminggu lamanya.

Perdana menteri baharu akan dipilih pada Isnin, dengan ketua Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) Shehbaz Sharif hampir pasti akan dipilih untuk mengetuai negara yang mempunyai 220 juta penduduk itu.

Tiada perdana menteri pernah berkhidmat sepenuh penggal di Pakistan, tetapi Khan adalah yang pertama kehilangan jawatan dengan cara ini.

Penyokong pembangkang turun ke jalanan pada awal Ahad, mengibarkan bendera kebangsaan dan parti dari tingkap kereta ketika berlumba di jalan raya.

Terdapat kawalan keselamatan besar-besaran di ibu negara, tetapi tiada sebarang insiden dilaporkan.

Pemangku speaker Sardar Ayaz Sadiq berkata 174 ahli Parlimen mengundi menyokong usul itu, “akibatnya undi tidak percaya diluluskan”.

Khan, 69, yang tidak hadir, kehilangan majoriti dalam 342 kerusi kerana pembelotan rakan pakatan dan juga ahli partinya sendiri, dan pembangkang hanya memerlukan 172 undi untuk memecatnya.

Beliau mencuba segala-galanya untuk terus berkuasa—termasuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru—tetapi Mahkamah Agung menganggap semua tindakannya menyalahi undang-undang minggu lalu, dan mengarahkan persidangan semula dan mengundi.

Belaku drama sehingga tarikh akhir tengah malam yang diarahkan oleh Mahkamah Agung, dengan speaker dewan - penyokong setia Khan—meletak jawatan pada saat-saat akhir.

Akhirnya, sesi diteruskan hingga Ahad dengan penggantinya.

“Kami akan mengubati luka negara ini,” kata Sharif sejurus selepas keputusan diumumkan.

Sesiapa yang mengambil alih masih perlu menangani isu yang menghantui Khan: inflasi yang melambung tinggi, rupee yang lemah dan hutang yang melumpuhkan.

Aktiviti militan juga semakin meningkat, dengan Taliban Pakistan semakin berani dengan kembalinya kuasa kumpulan itu di negara jiran Afghanistan tahun lalu.

Kemarahan meningkat dalam dewan apabila Sharif menegaskan undian diadakan serta-merta—seperti  diarahkan oleh Mahkamah Agung pada Khamis—tetapi penyokong setia Khan menuntut perbincangan terlebih dahulu mengenai dakwaan pemimpin mereka yang terdapat campur tangan asing dalam proses itu.

Menteri Luar Shah Mehmood Qureshi menuduh pembangkang membawa negara ke jalan yang berbahaya.

“Sejarah akan mendedahkan semua yang merancang langkah ini untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada laungan “undi, undi” daripada pembangkang.

Khan menegaskan beliau menjadi mangsa konspirasi “perubahan rejim” yang melibatkan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata PML-N dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) - dua kumpulan yang biasanya bertelagah bergabung tenaga untuk menggulingkannya - berpakat dengan Washington untuk membawa undi tidak percaya kerana penentangannya terhadap dasar luar AS, khususnya di negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan.

Beliau juga menuduh pembangkang membeli sokongan dalam dewan.

Berapa lama kerajaan baharu mampu bertahan juga turut menjadi spekulasi.

Pembangkang berkata sebelum ini mereka mahukan pilihan raya awal—yang mesti diadakan selewat-lewatnya Oktober tahun depan—tetapi pengambil alihan kuasa memberi mereka peluang menetapkan agenda sendiri dan menamatkan siri siasatan yang mereka dakwa dilancarkan Khan kerana dendam terhadap mereka.

Media tempatan memetik seorang pegawai suruhanjaya pilihan raya berkata mereka akan mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh bulan bagi persiapan pilihan raya.

Secara umumnya, tentera seperti mengelak daripada perbalahan yang berlaku tetapi terdapat empat rampasan kuasa sejak kemerdekaan pada 1947, dan negara itu menghabiskan lebih tiga dekad di bawah pemerintahan tentera. – AFP, 10 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen