Lelaki maut, 2 cedera, kereta dirempuh lori 


SEORANG pemandu kereta maut manakala dua penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Ara Kuda, di Tasek Gelugor hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata dalam kemalangan pada 12.09 tengah hari itu, Mohamad Fikri Mohd Zuki, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah pada kepala dan badan akibat tersepit.

“Sebaik pihak bomba tiba di tempat kejadian kami mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu dalam kereta jenis Perodua Alza, selepas dirempuh sebuah lori jenis Volvo tanpa muatan dan mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 12.44 tengah hari.

“Sementara itu, dua penumpang Perodua Alza itu, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, berusia lingkungan 20an, dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu tidak kelihatan di lokasi kejadian dan tidak diketahui keadaannya.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke HKB untuk bedah siasat, katanya. – Bernama, 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen