PEGAWAI Rusia pada Sabtu mendakwa perkhidmatan video Amerika Syarikat (AS) YouTube menyekat saluran dewan Parlimen dan memberi amaran tentang tindakan balas.
Vyacheslav Volodin, ketua Duma, berkata Washington melanggar “hak Rusia” manakala jurucakap kementerian luar Maria Zakharova berkata “YouTube telah menutup nasibnya”.
“Amerika Syarikat mahu monopoli penyebaran maklumat,” kata Volodin di Telegram, “kami tidak akan benarkan.”
Wartawan AFP mengesahkan laman web itu tidak boleh diakses.
Menurut Moscow, Duma-TV mempunyai lebih 145,000 pelanggan. Ia menyiarkan klip perbahasan Parlimen dan wawancara ahli Parlimen Rusia.
Pada Khamis, badan pemerhati komunikasi negara Rusia berkata ia akan melarang gergasi internet AS Google daripada mengiklankan perkhidmatannya di negara itu, menuduh YouTube menyebarkan “berita palsu” mengenai kempen ketenteraannya di Ukraine.
Rusia telah bertindak untuk menyekat akses kepada media asing dan sumber maklumat selain kebimbangan yang semakin meningkat Google mungkin berada di barisan seterusnya untuk disekat.
Badan pemerhati itu berkata YouTube milik Google telah melakukan “banyak pelanggaran” undang-undang Rusia dan merupakan “salah satu platform utama, mengedarkan berita palsu tentang perjalanan operasi ketenteraan khas di Ukraine, mencemarkan nama baik angkatan tentera Rusia”.
Tambahnya ia telah memutuskan untuk “memperkenalkan langkah paksaan”.
Ia berkata ini termasuk “larangan pengedaran pengiklanan untuk Google LLC dan sumber maklumatnya”. – AFP, 9 April, 2022.
Komen