Jepun, Filipina setuju tingkat kerjasama keselamatan


Penunjuk perasaan FIlipina dengan sepanduk menggesa China keluar dari perairan negara mereka. Beijing telah menuntut hampir semua perairan Laut China Selatan, sekali gus menjadi pertikian dengan beberapa jiran Asia Tenggara. – Gambar EPA, 9 April, 2022.

JEPUN dan Filipina bersetuju untuk meningkatkan kerjasama keselamatan dalam mesyuarat pertama menteri luar dan pertahanan pada Sabtu, ketika kebimbangan aktiviti maritim China semakin meningkat.

Ia merupakan rundingan pertama empat menteri itu yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat (AS), yang kedua-duanya mempunyai tuntutan wilayah bertindih dengan Beijing.

“Kedua-dua negara kami berkongsi kebimbangan serius tentang situasi di Laut China Selatan dan Timur. Kami bersetuju untuk pastikan pematuhan undang-undang antarabangsa termasuk timbang tara 2016 kepada Filipina” dalam pertikaian dengan China, serta Konvensyen Undang-undang Laut PBB, kata menteri luar Jepun Yoshimasa Hayashi.

China menuntut hampir semua Laut China Selatan, sekali gus menjadi pertikian dengan beberapa jiran Asia Tenggara.

Pada 2016, tribunal antarabangsa di The Hague membatalkan tuntutan China di Laut China Selatan. Beijing telah mengabaikan keputusan itu.

Dalam pertemuan itu, “kami dapat mengesahkan kesungguhan kami untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam menangani cabaran serantau dan global serta kerjasama ke arah merealisasikan Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka,” kata Hayashi.

Bidang kerjasama termasuk memastikan keselamatan laluan laut di Asia Tenggara dan perbincangan ke arah memperluaskan latihan dan pertukaran ketenteraan bersama, antara lain, katanya.

Setiausaha pertahanan Filipina Delfin Lorenzana mengulangi kenyataan yang “kami bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan serantau yang menjadi perhatian bersama, terutamanya kebebasan navigasi dan penerbangan” dan “pematuhan kepada undang-undang antarabangsa” termasuk keputusan tribunal 2016.

Selain Filipina, Jepun telah membentuk rangka kerja dua tambah dua dengan lapan negara lain - Amerika Syarikat, Australia, Britain, Perancis, Jerman, India, Indonesia dan Rusia. – AFP, 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen