MENTERI Perancangan Iraq, Salman Al-Jumaili, berkata negara itu memerlukan kira-kira AS$88.2 bilion (RM347 bilion) untuk membangunkan semula infrastruktur negara itu yang musnah dalam peperangan bernilai AS$45.7 bilion.
Beliau berkata pembangunan semula yang dirancang oleh kerajaan Iraq (selepas berakhirnya serangan Amerika Syarikat) berdepan cabaran dan kesukaran berikutan penguasaan satu pertiga daripada negara itu oleh kumpulan militan Daesh.
“Lima juta orang hilang tempat berlindung disebabkan Daesh dan kemusnahan ini memerlukan (pembiayaan untuk pembinaan semula infrastruktur sebanyak) AS$88.2 bilion.
“Sokongan masyarakat dunia amat penting ketika ini dalam usaha pembangunan semula Iraq, dan ini peluang terbaik bagi mereka yang ingin melabur di negara ini,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Pakar-Pakar Peringkat Tertinggi Untuk Pembangunan Semula Iraq dan Peranan Institusi Kewangan di Kuwait City pada Isnin.
Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Rabu.
KICRI, yang dipengerusikan bersama oleh Kuwait, Iraq, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia, bertujuan mengumpul dana daripada pelbagai pihak serta menggerakkan sokongan antarabangsa bagi pembinaan semula infrastruktur di Iraq selepas kemusnahan yang dilakukan kumpulan militan Daesh di negara itu.
Antara program menarik yang diadakan semasa persidangan itu ialah Persidangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu Situasi Kemanusiaan di Iraq, Iraq Open For Business dan Persidangan Peringkat Menteri.
Gabungan Global Menentang IS/Daesh akan turut diadakan pada Selasa bagi merangka usaha dan strategi dalam kalangan 74 rakan kongsinya untuk memerangi keganasan.
Gabungan Global Menentang IS/Daesh ditubuhkan pada September 2014 berikutan kebimbangan dunia terhadap Daesh serta ancamannya kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Malaysia akan diwakili Menteri Luar Anifah Aman dan dijangka berkongsi pandangan Malaysia pada mesyuarat itu. – Bernama, 12 Februari, 2018.
Komen