MAHKAMAH hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap pemimpin kumpulan militan yang berkait dengan pengganas Daesh atas tuduhan percubaan untuk menyeludup senjata dari Filipina.
Zainal Anshori, 43, kepala Jemaah Ansharut Daulah didapati bersalah melakukan “jenayah keganasan” oleh mahkamah Jakarta.
Kumpulan Zainal dipercayai bertanggungjawab mengadakan beberapa rancangan keganasan di Indonesia, termasuklah serangan di Jakarta pada Januari 2016 yang mengakibatkan lapan orang mati termasuk empat militan.
Pihak pendakwa menyeru supaya dikenakan penjara 10 tahun.
Mahkamah berkata, lebih kurang 50 senjata yang dirampas itu bertujuan untuk melancarkan beberapa siri serangan di Indonesia.
Indonesia, negara paling ramai orang Islam itu telah menjadi tumpuan dunia berikutan rentetan serangan pengganas.
Ramai pengganas dari Indonesia dikatakan telah menyertai pengganas Daesh di Syria dan bandar Marawi di Filipina.
Penyokong dalam dan luar Daesh telah menyerang Marawi sebelum dikalahkan pada Oktober lalu, sekali gus menamatkan konflik lima bulan dengan tentera selain mengakibatkan kematian lebih 1,100 orang.
Minggu lalu, mahkamah Jakarta menjatuhkan 10 tahun penjara terhadap seorang pengganas Islam kerana membeli beberapa pistol daripada kumpulan pemberontak dari Filipina. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen