KAJIAN mendapati individu yang sudah divaksin dan menerima dos penggalak Covid-19, jika dijangkiti Omicron, pulih tiga hari lebih awal berbanding mereka yang dijangkiti varian Delta.
Kajian itu turut mendapati individu yang terkena Omicron kurang kemungkinan untuk hilang deria rasa.
Kajian dilakukan terhadap lebih 63,000 individu yang divaksin berumur 19 hingga 99 tahun yang melaporkan sendiri simptom mereka antara Jun 2021 dan Januari 2022.
Bagi individu menerima dua vaksin bersama dos penggalak, simptom Omicron yang dialami kekal selama 4.4 hari berbanding 7.7 hari bagi Delta, iaitu perbezaan 3.3 hari.
Mereka yang menerima vaksin tanpa dos penggalak pula pulih dalam tempoh 8.3 hari berbanding 9.6 hari untuk Delta.
Menurut laporan diterbitkan jurnal perubatan Lancet, tempoh pemulihan lebih cepat mencadangkan kadar jangkitan adalah pendek dan mampu mempengaruhi dasar kesihatan di tempat kerja dan panduan kesihatan awam.
Kajian itu akan dibentangkan di Kongres Eropah bagi Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit di Lisbon, Portugal.
Ia juga mendapati hanya 17% daripada mereka yang dijangkiti Omicron hilang deria bau berbanding 53% bagi Delta.
Bagaimanapun, pesakit Omicron berdepan risiko tinggi iaitu 55% untuk terkena sakit tekak dan 24% mengalami suara serak.
Ia turut mendapati 25% pesakit Omicron kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital.
Walaupun kajian itu merangkumi tempoh sebelum varian Omicron BA.2 melanda dunia, data terkini daripada aplikasi menunjukkan tiada perubahan dalam simptom BA.2 berbanding BA.1 – AFP, 8 April, 2022.
Komen