SEBUAH pesawat kargo patah ketika melakukan pendaratan cemas di Costa Rica semalam, menyebabkan lapangan terbang antarabangsa di San Jose terpaksa ditutup sementara.
Asap hitam kelihatan di udara selepas pesawat syarikat logistik gergasi Jerman, DHL terhempas dan terpatah dua.
Dua anak kapal yang berada di dalam pesawat itu terselamat, kata Ketua Jabatan Bomba Costa Rica Hector Chaves.
Bagaimanapun mereka dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Insiden itu berlaku kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan selepas pesawat Boeing-757 yang berlepas dari lapangan terbang Juan Santamaria, terpaksa berpatah balik selepas 25 minit dan melakukan pendaratan cemas, susulan masalah kegagalan mekanikal.
Anak kapal memaklumkan pihak berkuasa tempatan berkenaan masalah hidraulik. – AFP, 8 April, 2022.
Komen