Anak Maradona dakwa jersi bakal dilelong bukan yang sebenar


Jersi dikatakan dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol “Tangan Tuhan” dijangka dilelong dengan harga lebih RM22 juta. – Gambar AFP, 8 April, 2022.

ANAK perempuan Diego Maradona mendakwa jersi Argentina yang dijangka dijual dengan harga jutaan dolar pada lelongan bulan ini, bukan dipakai bapanya ketika menjaringkan gol “Tangan Tuhan” dalam perlawanan menentang England.

Dalma Maradona berkata jersi yang akan dilelong itu sebenarnya dipakai bapanya ketika seri tanpa jaringan pada babak pertama suku akhir Piala Dunia 1986.

Steve Hodge, bekas pemain England yang berkata Maradona menukar jersi dengannya pada penamat saingan di Mexico City, mahu menjual jersi berkenaan yang dijangka boleh dibeli dengan harga lebih £4 juta (RM22.06 juta).

Syarikat lelongan Sotheby menafikan dakwaan Dalma, berkata mereka sudah mendapat “padanan gambar konklusif” yang membuktikan ia tulen.

Sotheby berlata Maradona sendiri berkata dia menukar jersi dengan Hodge di dalam terowong pemain selepas aksi klasik Piala Dunia 1986 itu.

Bagaimanapun Dalma mendakwa jersi dipakai bapanya pada babak kedua, ketika menjaringkan satu daripada gol terhebat dalam sejarah Piala Dunia, berada di tangan pemilik lain namun enggan mendedahkannya.

“Ia bukan yang itu. Saya tidak mahu beritahu siapa memilikinya kerana ia gila. Dia (Diego Maradona) memberitahu saya. katanya, ‘Mana boleh saya beri jersi yang juga kehidupan saya?’.

“Bekas pemain itu fikir dia ada jersi babak kedua bapa saya, tetapi sebenarnya bukan. Dia memiliki jersi dipakai pada babak pertama.

“Kami mahu ia dijelaskan supaya orang yang mahu membelinya nanti tahu perkara sebenar,” kata Dalma dalam satu kenyataan berasingan di televisyen Channel 13. – AFP, 8 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen