PERU isytihar darurat selama sebulan di semua lebuh raya dalam usaha membersihkan jalan raya yang dipasang pengadang oleh pemandu trak kerana mengadakan bantahan terhadap kenaikan harga.
Langkah itu bagi membolehkan pasukan tentera dikerah bagi membersihkan semua pengadang, dan pada masa sama menggantung hak persekutuan tertentu, termasuk kebebasan pergerakan dan perhimpunan.
Warta isytihar itu disiarkan di akhbar rasmi, berkata “polis akan mengawal ketenteraman awam, dengan bantuan pasukan tentera bersenjata”.
Ratusan pemandu trak dan pekerja ladang mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara sejak Isnin bagi membantah kenaikan harga minyak petrol dan baja.
Pertembungan berlaku antara penunjuk perasaan dan polis di Ica, kira-kira 300km di selatan Lima, menyebbakan seorang pekerja ladang maut dan 15 yang lain cedera, kebanyakannya pegawai polis.
Ketegangan semakin memuncak sepanjang minggu ini dengan Presiden Pedro Castillo menguatkuasakan perintah berkurung 24 jam di Lima pada Selasa.
Kekecohan berlaku pada malam Selasa di Lima susulan perarakan protes di beberapa bahagian di kawasan bandar dengan penunjuk perasaan melaungkan: “Castillo keluar!”
Tetapi ibu kota itu tenang semalam. – AFP, 8 April, 2022.
Komen