6 ditahan didakwa buat kecoh di mahkamah


Mahkamah di Hong Kong menjadi tempat penyokong demokrasi berkumpul apabila pihak berkuasa mendakwa ribuan aktivis dan penunjuk perasaan susulan himpunan di seluruh negara pada 2019. – Gambar EPA, 7 April, 2022.

ENAM individu ditahan dan didakwa atas tuduhan menghasut susulan mencetuskan kekecohan di dalam mahkamah di Hong Kong, di mana pihak berkuasa dilihat menggiatkan lagi penggunaan undang-undang era penjajah terhadap pengkritik.

Gangguan di dalam mahkamah biasanya dikendalikan menggunakan undang-undang menghina mahkamah, tetapi pihak berkuasa memilih untuk mengguna pakai akta hasutan, satu pendakwaan di bawah kesalahan keselamatan negara.

Polis berkata empat lelaki dan dua wanita ditahan susulan tingkah laku mereka pada satu perbicaraan di mahkamah, Disember dan Januari lalu.

Suspek sengaja mencetuskan kekecohan dan menjejaskan maruah kehakiman dan operasi mahkamah, kata polis dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu tidak memperincikan secara khusus perlakuan atau tindakan yang dianggap sebagai hasutan.

Mahkamah di Hong Kong menjadi tempat perkumpulan penyokong demokrasi apabila pihak berkuasa mendakwa ribuan aktivis dan penunjuk perasaan susulan himpunan di seluruh negara pada 2019.

Kebanyakan prosiding perbicaraan dibuka kepada umum, dan penyokong demokrasi sering menepuk tangan atau menjerit kata-kata semangat kepada defendan yang berada di kandang tertuduh.

Hakim Hong Kong sebelum ini hanya menegur mereka di galeri awam supaya menjaga kelakuan dan memberi amaran boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah, tetapi tidak pernah ada individu ditahan.

Polis berkata serbuan dilakukan di rumah tertuduh dan merampas rekod menunjukkan semua suspek berkonspirasi untuk melakukan kesalahan itu.

Siew Yun-long, seorang wartawan yang membuat liputan mahkamah, adalah antara yang ditahan. – AFP, 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen