AS kenakan sekatan terhadap 2 anak Putin


Dua anak perempuan Vladimir Putin, dikenakan sekatan oleh AS, dalam usaha menambah tekanan terhadap ekonomi Russia dan golongan elit, susulan pencerobohan terhadap Ukraine. – Gambar EPA, 7 April, 2022.

WHITE House semalam mengumumkan sekatan terhadap golongan terkemuka Russia dan bank swasta serta dua anak perempuan Vladimir Putin, menambah tekanan terhadap ekonomi negara itu dan elitis, susulan pencerobohan terhadap Ukraine.

Sekatan terbaru itu menyasarkan Maria Vorontsova dan Katerina Tikhonova, dua anak Putin bersama bekas isterinya, Lyudmila Shkrebneva.

Turut terjejas akibat sekatan itu ialah isteri dan anak perempuan Menteri Luar Russia Sergei Lavrov dan anggota Majlis Keselamatan Russia, termasuk bekas presiden dan perdana menteri Dmitry Medvedev serta Perdana Menteri Mikhail Mishustin.

“Individu ini mengayakan diri mereka sendiri atas kesusahan rakyat Russia. Ada yang bertanggungjawab menyediakan sokongan diperlukan Putin dalam perang terhadap Ukraine,” kata White House dalam satu kenyataan.

“Kami percaya banyak aset Putin disembunyikan dalam kalangan ahli keluarga, dan itu sebabnya kami sasarkan kepada mereka,” kata pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) kepada media, merujuk kepada dua anak perempuan Putin.

White House turut mengumumkan sekatan penuh terhadap bank awam terbesar Russia dan institusi kewangan swasta, Sberbank dan Alfa Bank, berkata semua pelaburan baharu AS di Russia pada masa ini dilarang.

Ia berkata sekatan baharu akan diumumkan hari ini berkenaan syarikat negara Russia, bertujuan menjejaskan kemampuan negara itu untuk mendagangkan dan menggerakan wang menerusi sistem kewangan global. – AFP, 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen