Pelajar kembali ke sekolah mungkin alami tekanan mental, kata pakar


Angie Tan

Perubahan sesi pembelajaran sepanjang dua tahun lalu kerana epidemik Covid-19 menyebabkan tubuh dan minda pelajar perlu masa untuk sesuaikan diri dengan perubahan, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2022.

IBU bapa perlu memberi perhatian terhadap anak yang kembali ke kelas secar fizikal untuk kali pertama selepas dua tahun, kerana mereka mungkin mengalami tekanan mental, kata pakar psikologi dan kaunselor.

Mereka berkata bagi bulan pertama hingga ketiga, ibu bapa perlu memantau anak, jika ada kemungkinan mereka tertekan selepas kembali ke sekolah.

Sesi baharu persekolahan bermula pada 21 Mac tetapi selama dua minggu, kelas dijalankan secara atas talian. Kelas secara fizikal bersambung semula 4 April lalu.

Pakar psikologi Tan Chee Seng berkata perubahan yang berlaku sepanjang dua tahun lalu kerana epidemik Covid-19 menyebabkan tubuh dan minda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Ada beberapa sebab mengapa pelajar mungkin mengalami tekanan mental,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ia mungkin kerana masalah hubungan sesama manusia, hilang kawalan dan rasa pencapaian. Hubungan sesama manusia sangat penting untuk kanak-kanak.

“Jika mereka ada kawan baik, menyesuaikan diri di sekolah akan jadi lebih mudah. Jika mereka tidak dapat kuasai apa yang diajar di sekolah, ia akan menambah lagi tekanan.”

Jika pelajar tidak dapat mengawal persekitaran, ia akan menyebabkan mereka rasa tidak puas hati, katanya.

Tan berkata beliau mengendalikan dua pelajar yang memerlukan bantuan sejak sekolah dibuka semula.

“Seorang pelajar yang baru beralih dari sekolah rendah Cina ke sekolah menengah kebangsaan yang memang sedia tertekan kerana pembelajaran atas talian.

“Sekarang kelas diajar dalam bahasan Inggeris, bukan Cina, jadi pelajar itu enggan ke sekolah dan hanya tidur sepanjang hari. Ini antara tanda dia mengalami rasa cemas dan tertekan, di mana ia masalah yang serius.”

Seorang lagi membabitkan pelajar tingkatan lima, kata Tan.

“Pelajar ini dalam aliran sains dan sejak sekolah bermula, terlalu banyak kerja rumah yang membuatkan dia rasa tertekan.”

Tan berkata dalam tempoh satu hingga dua bulan ini, ibu bapa perlu memantau sebarang perubahan dalam tingkah laku anak.

“Mereka perlu bercakap dengan anak, tanya tentang kawan, matapelajaran di sekolah yang mereka rasa sukar. Jika ada banyak yang negatif, perlu ambil perhatian.” – 7 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen