Mangsa banjir Hulu Langat cuba bangkit semula


Elill Easwaran

Anggota Rukun Tetangga Taman Sri Nanding Roslin Abdullah berkata kerja pembaikan rumah di kawasan ini sudah 90% selesai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 April, 2022.

KAMPUNG yang musnah akibat banjir besar di Hulu Langat Disember lalu kini sedikit demi sedikit kembali normal, dengan pembaikan hampir siap, kata penduduk yang terjejas.

Mereka berkata rumah dan barangan lain yang dihanyutkan sudah dibina semula atau hampir siap dibaiki.

Penduduk kampung berkata empat bulan kebelakangan ini amat mengerikan kerana perlu berusaha kembalikan kehidupan tambahan dengan kekangan kewangan.

Anggota Rukun Tetangga Taman Sri Nanding Roslin Abdullah, 61, berkata kerja pembaikan rumah di kawasan kejiranan ini sudah 90% selesai.

“Baki 10% masih belum selesai terutamanya disebabkan masalah kewangan yang dihadapi pemilik.

“Kos membaiki rumah terjejas akibat banjir yang dahsyat itu bukannya murah. Penduduk kampung juga terpaksa guna wang untuk baiki kenderaan mereka yang tenggelam banjir,” katanya.

Kira-kira 1,400 rumah di Taman Sri Nanding musnah akibat banjir pada Disember berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa hari.

Air naik dengan cepat sehingga menyebabkan menghanyutkan sekali barangan dan bumbung rumah.

Roslin berkata selepas banjir kerajaan membantu penduduk kampung dengan memberikan bantuan kewangan dan sokongan lain.

“Kami dapat RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi daripada kerajaan persekutuan.

“Kami juga dapat RM500 untuk peralatan elektrik dan baru-baru ini kami dapat RM2,500 daripada kerajaan persekutuan untuk beli perabot,” kata Roslin.

Tambahnya, proses mendapatkan bantuan kerajaan itu sangat lancar dan mereka berjaya mendapatkannya dengan cepat.

Roslin berkata penduduk masih hidup dalam ketakutan apabila hujan turun.

“Sistem perparitan di sini bukanlah yang terbaik dan selalu melimpah, justeru penduduk berasa bimbang.

“Kami sudah buat beberapa aduan kepada pihak berkuasa tempatan. Sebelum banjir, tiada tindakan diambil. Cuma sekarang mereka sedang membetulkannya,” katanya.

Pesara Mat Ali Satar berkata terpaksa keluarkan hampir RM17,000 wang sendiri untuk baiki rumahnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 April, 2022.

Korek wang simpanan untuk baik pulih

Sementara itu, pesara Mat Ali Satar, 65, berkata dia terpaksa keluarkan hampir RM17,000 wang sendiri untuk baiki rumahnya.

“Kerajaan memang ringankan beban kami tetapi kami masih terpaksa guna wang kami sebab rosak teruk.

“Kalau saya sertakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilakukan untuk kereta saya, kos keseluruhan kira-kira RM35,000,” katanya.

Ali berkata rumahnya hanya 85% siap sekarang kerana masalah kewangan.

“Kesakitan yang kami lalui selepas banjir lebih teruk daripada kesakitan semasa banjir.

“Membersihkan seluruh rumah yang penuh dengan serpihan bukanlah mudah dan mengeluarkan sejumlah besar wang memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Bagaimanapun Ali berkata beliau amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh orang ramai.

“Kita kena beri pujian kepada semua NGO di luar sana yang sudi melangkah ke hadapan ketika rakyat menderita.

“Jika bukan kerana mereka, keadaan akan jadi lebih teruk,” kata Ali.

Seorang lagi penduduk, Khairul Azahar, 51, berkata rumahnya sudah siap kira-kira 85%.

“Saya buat perlahan sebab saya tak ada wang untuk kerja pembaikan ini.

“Saya dan isteri sudah guna banyak wang simpanan untuk pembaikan rumah dan kereta,” kata Khairul yang merupakan seorang jurujual.

Tambahnya, jika banjir berlaku sebelum penularan pandemik Covid-19, dia mungkin akan berjaya siapkan rumahnya.

“Selama dua tahun sekatan pergerakan, kami guna sebahagian besar simpanan kami, jadi kami tidak mampu untuk selesaikan semuanya sekarang.”

Dia berharap untuk selesaikan lagi 15% kerja baik pulih sebelum hujung bulan ini.

“Semoga rumah saya akan siap 100% sebelum Hari Raya Aidilfitri supaya dapat jemput saudara mara,” katanya. – 7 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen