GARA-GARA hendak membuat pinjaman peribadi sebanyak RM80,000, seorang pegawai bank kerugian RM234,000 selepas terpedaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud di laman sesawang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Supt Mohamad Musa Marsidi berkata mangsa berusia 54 tahun itu membuat laporan pada 1 April lepas selepas menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata sebelum itu, mangsa berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang daripada syarikat dikatakan menawarkan kadar faedah rendah.
“Mangsa kemudian dihubungi pekerja syarikat pinjaman wang berkenaan dan memintanya untuk membuat bayaran bagi memproses pinjaman itu.
“Semasa proses kelulusan, mangsa diminta membuat pembayaran dengan memindahkan wang secara berperingkat ke sembilan akaun sejak 28 Februari sehingga akhir Mac lepas berjumlah RM243,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohamad Musa turut mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah dan proses permohonan pantas tanpa syarat ketat untuk mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman tidak wujud.
Beliau turut menyarankan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Infoline di CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau balai polis berdekatan jika mendapati sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan. – Bernama, 6 April, 2022.
Komen