Rusia serang depot bahan api di tengah Ukraine


Ketua majlis wilayah Dnipro Mykola Lukashuk menyifatkan serangan Rusia pada lewat Selasa di Novomoskovsk, kira-kira 25 kilometer dari Dnipro itu sebagai "sinis" kerana wilayah itu "tiada askar Ukraine". – Gambar EPA, 6 April, 2022.

TENTERA Rusia menyerang depot bahan api berhampiran bandar Dnipro di tengah Ukraine semalam, kata pihak berkuasa wilayah pada Rabu.

“Malam itu mencemaskan dan sukar. Musuh serang wilayah kami dari udara dan menghentam depot minyak dan kilang. Depot minyak dengan bahan api musnah,” kata gabenor wilayah itu, Valentin Reznitchenko, dalam satu kenyataan di media sosial.

Beliau berkata, tiada sesiapa yang cedera dalam serangan itu dan anggota bomba berjuang selama lapan jam untuk memadamkan api.

Ketua majlis wilayah, Mykola Lukashuk menyifatkan serangan Rusia pada lewat Selasa di Novomoskovsk, kira-kira 25 kilometer dari Dnipro itu sebagai “sinis” kerana wilayah itu “tiada askar Ukraine”.

Dnipro ialah sebuah bandar perindustrian di tengah Ukraine, selatan ibu kota Kyiv, dan telah terhindar daripada banyak pertempuran serius yang telah memusnahkan bandar seperti Kharkiv di timur dan Mariupol di selatan.

Lapangan terbang Dnipro telah musnah akibat serangan Rusia bulan lalu. – AFP, 6 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen