2 beradik ditahan disyaki terlibat insiden tembakan di California


Penghadang diletakkan bagi melindungi mangsa ketika pegawai polis menandakan bukti di tempat kejadian selepas insiden tembakan rambang di Sacramento, California, AS pada 3 April. – Gambar EPA, 6 April, 2022.

DUA adik-beradik lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kejadian tembakan rambang di California yang menyebabkan enam maut ditahan pada Selasa.

Detektif yang menyiasat insiden berlaku di pusat bandar Sacramento, yang tercetus ketika kelab malam kosong pada awal pagi Ahad, berkata kedua-duanya disyaki memiliki senjata api.

Seorang daripadanya, Smiley Martin, adalah antara 12 individu yang dirawat di hospital selepas berbalas tembakan dengan sekurang-kurangnya 100 das peluru dilepaskan, nampaknya selepas berlakunya pergaduhan.

Martin, 27, yang kecederaannya disifatkan sebagai “serius,” disyaki memiliki “machine gun,” kata polis pada Selasa, sambil menambah beliau dikawal oleh seorang pegawai sementara rawatannya diteruskan.

Beliau adalah abang kepada Dandrae Martin, 26, yang ditahan pada Isnin kerana disyaki melakukan kesalahan melibatkan senjata.

Individu ketiga, Daviyonne Dawson, yang didakwa memiliki pistol sejurus selepas kejadian tembakan, juga turut ditahan.

Polis Sacramento berkata pegawai bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 2 pagi Ahad selepas mendengar bunyi tembakan dan melihat orang ramai berkumpul dan ramai menjadi mangsa.

Rakaman video selepas itu menunjukkan responden pertama merawat mangsa yang berlumuran darah. Mayat mayat bergelimpangan berhampiran.

Tiga daripada mereka yang maut adalah wanita. Keenam-enamnya sudah dikenal pasti.

Tembakan berlaku hanya beberapa blok dari ibu negeri dan berhampiran dengan tempat di mana pasukan NBA, Sacramento Kings bermain

Menurut laman web Gun Violence Archive, terdapat kira-kira 40,000 kematian setahun di Amerika Syarikat yang melibatkan senjata api. – AFP, 6 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen