Pemandu lori nyaris maut rempuh kontena jatuh jejambat


Dilaporkan sebuah kontena mengandungi barangan kitar semula telah jatuh dari atas jejambat setinggi 12 meter dan menghempap bahagian belakang sebuah lori yang berada di bawahnya sebelum dihentam sebuah lagi lori lain yang dinaiki mangsa, mengakibatkan mangsa tersepit. – Gambar Facebook, 5 April, 2022.

SEORANG pemandu lori nyaris maut apabila lori yang dipandunya melanggar sebuah kontena yang jatuh dari jejambat pada ketinggian lebih 12 meter di Jalan Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari itu, mangsa Rusaini Hassani, 49, yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan lanjut.

“Dilaporkan sebuah kontena yang mengandungi barangan kitar semula telah jatuh dari atas jejambat setinggi 12 meter dan telah menghempap bahagian belakang sebuah lori yang berada di bawahnya sebelum dihentam sebuah lagi lori lain (yang dinaiki mangsa), mengakibatkan mangsa tersepit.

“Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 1.17 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan di Klang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku akibat pemandu lori barangan kitar semula, dari arah jejambat Westport menuju ke ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), hilang kawalan ke atas kenderaan dipandunya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori tersebut (lori barangan kitar semula) telah hilang kawalan lalu terbabas dan kontena (yang dibawanya) telah terjatuh ke bawah susur jalan dan menghempap kenderaan yang melalui jalan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama, 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen