PENGUMUMAN Putrajaya untuk tidak menaikkan kadar tol empat lebuh raya sekitar Lembah Klang adalah usaha yang dimulakan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 dan kini diteruskan oleh kerajaan, kata Majlis Presiden gabungan itu.
“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya.
“Ini membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Setiuasaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam umum kadar tol melibatkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi.
Kadar tol empat lebuh raya itu kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan, katanya dalam kenyataan.
Ismail Sabri berkata penstrukturan itu dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
Penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion, kata perdana menteri.
Majlis Presiden seterusnya berkata PH ketika menjadi kerajaan merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya terbabit.
PH juga ketika itu telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya berkenaan, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR.” katanya. – 5 April, 2022.
Komen