PRESIDEN Cyril Ramaphosa mengumumkan sekatan pergerakan pandemik Covid-19 akan berakhir tengah malam semalam, berkata kini masanya untuk menyambung semula pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata negaranya yang paling teruk terjejas di benua itu, menyaksikan kadar kematian menurun daripada purata harian 420 kes pada Julai 2021 kepada hanya 12 kes minggu lalu.
Kerajaan memutuskan untuk menamatkan situasi bencana negara berkuatkuasa tengah malam semalam, di mana sekatan dikuatkuasakan sejak 15 Mac, 2020.
“Kita berharap keadaan buruk sudah berlalu, dan kita yakin masa depan yang lebih baik sedang menunggu kita.
“Sekarang masanya untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta pekerjaan, untuk mengembalikan kesejahteraan negara.
“Sekarang masa untuk sembuh, pulih dan bangun semula,” katanya menerusi ucapan disiaarkan di stesen televisyen seluruh negara.
Afrika Selatan pada masa ini berdepan krisis ekonomi yang semakin teruk akibat pandemik, dengan kadar pengangguran naik hingga 35.5% sepanjang tiga bulan terakhir 2021.
“Walaupun pandemik belum berakhir, dan kita terus berhati-hati, kita yakin kita dalam keadaan lebih baik sekarang, berbanding 750 hari lalu,” kata Ramaphosa.
Bagaimanapun, beberapa langkah seperti pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup masih dikuatkuasakan untuk tempoh 30 hari lagi.
Afrika Selatan mencatatkan lebih 3.7 juta jangkitan koronavirus. Setakat ini 100,052 kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara itu.
Semalam, ia melaporkan 685 kes dan dua kematian. – AFP, 5 April, 2022.
Komen