Datuk bandar, 4 yang lain ditemui mati terikat di Ukraine


Di Bucha, bandar terletak kira-kira 30km di utara Motyzhyn, mayat orang awam bergelimpangan bersepahan ditemui di jalan raya dan di kubur besar. – Gambar AFP, 5 April, 2022.

PIHAK berkuasa Ukraine menemui mayat lima orang awam dengan tangan terikat di sebuah kampung di barat Kiev, dan mangsa termasuk datuk bandar, suaminya dan anak lelakinya.

Polis berkata mayat mangsa ditemui di dalam kubur yang tidak ditimbus sepenuhnya di hutan pain berhampiran rumahnya di Motyzhyn.

Mayat kelima ditemui di dalam perigi kecil di kawasan taman di situ.

Semua yang mati, termasuk dua lelaki bukan ahli keluarga datuk bandar itu, diikat tangan mereka.

Datuk Bandar Olga Sukhenko, 50, suaminya dan anak lelaki mereka diculik oleh tentera Russia pada 24 Mac, kata polis.

Penduduk berkata datuk bandar terbabit dan suaminya enggan bekerjasama dengan tentera Russia yang menceroboh kawasan itu.

Pada 11 Mac, Datuk bandar Melitopol di selatan Ukraine, diculik tentera Russia tetapi dibebaskan selepas beberapa hari.

Di Bucha, bandar terletak kira-kira 30km di utara Motyzhyn, mayat orang awam bergelimpangan bersepahan ditemui di jalan raya dan di kubur besar, mencetuskan tuduhan terhadap jenayah perang. – AFP, 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen