Mahkamah dakwa lelaki serang 7 wanita Asia di New York


SEORANG lelaki yang menyerang tujuh wanita Asia di New York dalam tempoh tiga jam pada Februari lalu didakwa atas tuduhan jenayah kebencian, kata peguam daerah Manhattan.

Pada 27 Februari, antara 6 petang hingga 9 malam, Steven Zajonc, 28, menyerang dan memukul semua wanita terbabit di kawasan timur dan tengah Manhattan, kata Alvin Bragg.

Zajonc secara terpilih menyerbu tujuh wanita Asia terbabit dalam serangan berasing, dengan ada yang diserang dari belakang – tanpa sebarang sebab kecuali kerana bangsa mangsa, kata Bragg.

Peguam daerah berkata suspek memukul mangsa di muka dengan tumbukan dan sikunya, sebelum melarikan diri. Salah seorang daripada mangsa tersembam ke tanah dalam serangan itu.

“Serangan terhadap tujuh wanita New York, setiap satunya didorong dengan kebencian dan anti Asia, adalah satu lagi peringatan terhadap ketakutan yang terpaksa dihadap masyarakat Asia-Amerika, kata Bragg.

Semua mangsa mengalami kecederaan di muka, dan seorang dimasukkan ke hospital kerana mengalami gegaran di kepala.

Polis New York berjaya mengenal pasti Zajonc menerusi rakaman kamera litar tertutup dan keterangan daripada pekerja Perpustakaan Awam New York, iaitu antara lokasi serangan.

Suspek ditahan pada 2 Mac, didakwa atas pertuduhan menyerang dan mengganggu, menurut pendakwa.

Bragg berkata pihaknya sedang menyiasat 27 kes jenayah kebencian anti Asia.

Serangan bermotifkan kaum terhadap masyarakat Asia, meningkat di Amerika Syarikat sejak 2020 dan ketika bermulanya pandemik.

Sesetengah pihak menyalahkan retorik yang dibawa bekas presiden Donald Trump, yang secara terbuka bercakap tentang “virus China”.  – AFP, 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen