Guru agama rogol 13 pelajar di Indonesia dihukum mati


Herry Wirawan, 36, dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan bersalah merogol 13 pelajarnya di sebuah madrasah di Bandung, Indonesia. – Gambar AFP, 5 April, 2022.

MAHKAMAH di Indonesia menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang guru agama yang sabit kesalahan merogol 13 pelajarnya di sebuah madrasah di Bandung, lapor media di republik itu.

Hukuman mati ke atas Herry Wirawan, 36, dipersetujui oleh mahkamah tinggi semalam (Isnin) yang mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara seumur hidup yang diputuskan Februari lalu.

Mahkamah juga memerintahkan untuk merampas harta Herry termasuk tanah dan bangunan serta hak beliau dalam yayasan anak yatim dan madrasah tahfiz berkenaan.

Semua harta berkenaan akan dilelong sementara hasilnya diserahkan kepada pihak berkuasa Jawa Barat untuk membiayai pendidikan pelajar yang dirogol sehingga mereka dewasa atau menikah.

Sembilan daripada 13 mangsa itu kini menjalani penilaian dan rawatan kesihatan mental oleh pihak berkuasa kesihatan Jawa Barat, lapor CNN Indonesia.

Herry melakukan kesalahan rogol ke atas pelajarnya yang berumur antara 12 hingga 16 tahun antara 2016 hingga 2021. Lapan daripada mereka mengandung.

Sementara itu, peguam mangsa Yudi Kurnia berkata keluarga yang terlibat berpuas hati dengan hukuman yang diputuskan terhadap Herry.

“Alhamdulillah, keluarga sangat bersyukur sekali Herry dihukum mati,” katanya seperti dipetik portal berita DetikJabar.

“Ini sangat memenuhi rasa keadilan,” tambahnya. – Agensi, 5 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen