SEMALAM portal berita nombor satu negara mengeluarkan kompilasi komentar pembaca mereka yang mengutuk penggunaan bahasa Inggeris Perdana Menteri.
Salah satu komen yang diterbitkan berkata Phua Chu Kang lagi arif berbahasa Inggeris berbanding Pak Menteri.
.jpg)
Seorang lagi bersabda betapa Pak Menteri hanya berbahasa ibunda di mesyuarat global kerana lemah berbahasa penjajah.
Soalan cepumas: Apa salah berbahasa Inggeris dengan slanga yang tersendiri?
Asal maknanya sampai, masuk telinga kanan dan bersemayam di benak pendengar, tidak ada masalah sekiranya bahasa Inggeris Pak Menteri disulam loghat Temerloh.
Golongan yang mengata ini adalah mereka yang inzal dan basah sebaik mendengar kaum penjajah bermata biru mengucapkan, “chereema carshare”.
Sedangkan Surah al-Fatihah ada 7 lenggok bacaan berbeza yang diterima dalam Islam. Mengapa pula bait-bait kata Inggeris tidak boleh ditutur dengan lenggok dan langgam yang tersendiri?
Dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan kisah kepelatan lidah Melayu Tun Mai Ulat Bulu yang tidak dapat menyebut perkataan Arab dengan makhraj yang tertib.
Lantas gurunya dari Jeddah, Makhdum Sadar Jahan memerli beliau kerana tidak mampu bertutur seperti Pak Arab di tanah asal.
Maka kata Tun Mai Ulat Bulu: “Sebutlah oleh tuan perkataan kunyit”. Maka disebut oleh Makhdum katanya: “Kuzit”.
Maka kata Tun Mai Ulat Bulu: “Salah, kunyit bukan kuzit. Sebut pula perkataan nyiru”. Maka kata Makhdum: “Niru”.
Maka kata Tun Mai Ulat Bulu sambil hendak tertawa: “Kucing pula sebut, tuan”. Maka disebut Makhdum, katanya: “Kusyin”.
Maka Tun Mai UIat Bulu pun tertawa, katanya: “Manatah tuan dapat menyebut bahasa kami? Demikian lagi kami mengikut bahasa tuan.”
Sedari dahulu, masyarakat kita sudah dididik untuk menghormati perbezaan dalam berbahasa. Namun sehingga ke hari ini, masih ada yang menganggap berbahasa ibunda itu lapuk dan ketinggalan zaman. Sedangkan yang lapuk dan ketinggalan zaman itu cuma mentaliti mereka.
Pada tika dan ketika ini, bahasa Inggeris cuba diubah agar menjaga sensitiviti gender. Kata ganti diri bagi seseorang itu bukan lagi “he” atau “she”. Itu salah kerana dianggap meneka gender seseorang. Maklumlah, lelaki kini dibenarkan berpakaian wanita dan sebaliknya.
Justeru, kata panggilan paling tepat dan selamat adalah “they”. Kalau ingin menyapa seseorang baik lelaki mahupun wanita, rujuk si dia sebagai “they” kerana bimbang tersalah jantina.
Masalah ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu. Kata ganti diri dalam bahasa ini sudah neutral dan tidak berjantina.
Saya, dia, kamu, mereka – langsung tidak merujuk kepada mana-mana kumpulan gender.
Perkataan “heroes” yang bikin kontroversi kerana dikatakan seksis dan penuh dengan maskuliniti toksik juga diganti dengan “sheroes” kerana mahu kaum hawa terlibat sama. Lebih mengujakan, wujud pula perkataan “they-reos”.
Dalam bahasa Melayu, “heroes”, “sheroes” dan “they-reos” bererti wira. Lelaki wira, wanita wira, lain-lain juga wira.
Yang bukan wira cumalah portal berita nombor 1 di Malaysia. – 4 April, 2022.
* Johan Mat, pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen