Mayat lelaki dipercayai dibunuh ditemukan di Serdang 


SEORANG lelaki warga tempatan ditemukan maut, dipercayai dibunuh, di hadapan sebuah restoran di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di Serdang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan lelaki berusia 30 tahun itu kira-kira 5.56 pagi tadi dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam seperti parang.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menemui kesan kecederaan akibat ditetak pada muka, leher dan tangan.

Katanya mayat itu telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan usaha mengesan suspek kes tersebut sedang dijalankan.

“Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama, 4 April, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen