SEBUAH lebuh raya di China bertukar menjadi perangkap maut kebakaran selepas sebuah lori tangki terbalik dan melimpahkan cecair gas asli (LNG) di jalan.
Rakaman kamera kereta menunjukkan sebuah kereta tiba-tiba terbakar sebaik sahaja kereta itu berhenti di belakang lori tangki itu.
Pemandu kereta kemudiannya mengundur keretanya sebelum keseluruhan jalan dijamah api, membakar sebuah lagi kereta dan menghanguskan pokok dan semak tepi jalan.
Pemandu itu kemudiannya keluar dari kereta dalam usaha terakhir menyelamatkan diri.
Rakaman penuh dramatik itu dirakam di lebuh raya di daerah Hebei, bersempadan Beijing.
Kereta yang merakamkan kejadian itu pantas berundur, cuba mengelak daripada disambar api.
Dalam kejadian itu, dua orang cedera parah terbakar dan enam lagi cedera ringan, lapor media tempatan.
Pemandu lori tangki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lebuh Raya Beijing-Harbin tempat kejadian itu berlaku adalah laluan utama trak membawa arang batu, LNG dan pelbagai bahan lain.
Kejadian itu berlaku ketika rakyat negara itu sedang bersiap-sedia untuk cuti Tahun Baru Cina yang menyaksikan jalan raya dipenuhi dengan kenderaan rakyatnya yang mahu balik kampung meraikan perayaan itu, situasi yang disifatkan sebagai migrasi manusia terbesar berlaku di dunia moden. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen