ENAM terbunuh sementara 12 yang lain cedera, dengan sebahagiannya kecederaan kritikal, dalam insiden tembakan awal pagi Ahad di Sacramento, California.
Ketua polis bandar itu Kathy Lester memberitahu media anggota peronda terdengar bunyi tembakan di kawasan pinggir bandar kira-kira 2 pagi.
“Kawasan itu dipenuhi orang ramai. Tidak pasti sama ada ia sebahagian daripada pengunjung kelab atau acara,” katanya.
Jabatan polis Sacramento dalam kenyataan media berkata enam mangsa mati di tempat kejadian.
“Seramai 12 mangsa dirawat di hospital,” katanya.
Pada sidang media, Datuk Bandar Sacramento Darrell Steinberg berkata sebahagian mangsa yang dirawat di hospital dalam keadaan kritikal.
Beliau menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu, tampil memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
Satu rakaman video dimuat naik di Internet semalam menunjukkan beberapa orang ramai bergelut di jalanan, dan mula lari selepas bunyi tembakan kedengaran.
Insiden berlaku di kawasan pinggir bandar, tidak jauh dari ibu kota dan berhampiran lokasi Sacramento Kings NBA. – AFP, 4 April, 2022.
Komen