SEKURANG-KURANGNYA 12 maut dalam insiden rusuhan di sebuah penjara di selatan Ecuador, kata pejabat presiden, dalam kejadian terbaru membabitkan keganasan di pusat tahanan negara Amerika Selatan itu.
Pergaduhan di penjara El Turi di Cuenca menyebabkan 12 maut dan 10 yang lain terpaksa dirawat kerana cedera, kata pejabat media Presiden Guillermo Lasso.
Ecuador sejak beberapa tahun terakhir ini bergelut dengan keganasan penjara – biasanya membabitkan geng – dengan 320 banduan terbunuh dalam rusuhan pada 2021.
Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo memberitahu media rusuhan itu “masih tidak dapat dikawal” dan 800 anggota polis dan tentera dikerah untuk menghentikan rusuhan.
Perbalahan tercetus 1.30 pagi waktu tempatan di bahagian kawalan keselamatan maksimum di penjara itu.
Sehingga tengah hari, keadaan masih tidak dapat dikawal dengan banduan dan pegawai polis kelihatan berada di bumbung.
Kira-kira 90 banduan dipindahkan dari penjara, dengan pihak berkuasa bertegas berkata tidak ada banduan yang terlepas lari.
Carrillo berkata keganasan berlaku ada kaitan dengan masalah antara geng.
“Ada organisasi yang mahu mengawal dari dalam penjara tetapi ada sesetengah banduan enggan dikawal, mencetuskan pemberontakan,” katanya.
Awal hari ini, Carrillo di Twitter berkata Ecuador perlu reformasi undang-undang untuk menjatuhkan hukuman terhadap perusuh di penjara.
Ecuador mempunyai 65 penjara dengan kapasiti 30,000 banduan tetapi berlaku lebihan 30% penghuni. – AFP, 4 April, 2022.
Komen