PENCARIAN sedang dilakukan pada Ahad untuk mengesan sebuah pesawat ringan British dengan dua orang di dalamnya yang hilang di Selat Inggeris, kata pengawal pantai Perancis.
Pesawat Piper PA-28 berlepas dari Wellesbourne, sebuah perkampungan di tengah England, pada Sabtu ke pusat peranginan tepi laut utara Perancis di Le Touquet, kata maritim wilayah itu.
Pesawat berdaftar British itu berlepas dengan lima pesawat ringan lain sebagai sebahagian daripada lawatan bersama.
Kedudukan terakhir yang diketahui adalah separuh jalan di udara Selat Inggeris kira-kira 45 kilometer dari Dungeness di tenggara England, menurut pengawal pantai UK.
Operasi pencarian besar-besaran pihak berkuasa British dan Perancis pada Sabtu tidak membuahkan hasil.
Akhbar Sunday Telegraph Britain melaporkan pesawat enjin tunggal itu dimiliki seorang tenaga pengajar di sekolah penerbangan berpangkalan di Wellesbourne.
Akhbar itu menamakannya sebagai Guy Wakeley. Laman web sekolah penerbangan itu menyenaraikannya sebagai bekas ketua eksekutif Morrison, kumpulan penyelenggaraan perumahan sosial dan kumpulan perkhidmatan kewangan Equiniti.
Menurut laman web itu, mereka mengadakan “Club Fly-Out” ke Le Touquet pada Sabtu. Seorang pegawai di sekolah itu enggan mendedahkan siapa yang berada di dalam pesawat itu kepada The Sunday Telegraph.
Pencarian diteruskan pada Ahad dengan sebuah helikopter Perancis dan sebuah bot penyelamat tentera laut Perancis serta sebuah pesawat pengawal pantai UK.
Kapal komersial di kawasan itu juga diminta membantu tetapi tiada sebarang serpihan ditemui dan tiada saksi melaporkan melihat pesawat itu terhempas, kata maritim. – AFP, 3 April, 2022.
Komen