Malaysia menghampiri norma asal


TANGGAL 1 April 2022 akan berterusan dikenang dalam sejarah nusa. Setelah dua tahun bergelumang dengan kemelut Covid-19, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia kini memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’.

Peralihan ini merupakan langkah pertama ke arah pembinaan semula negara yang terjejas teruk dek pandemik yang mewabak.

Keputusan untuk membawa Malaysia keluar daripada fasa pandemik bukan mudah. Pada 1 April sahaja, kes Covid-19 baharu di Malaysia mencecah 17,476 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,219,395 kes.

Prospek untuk menghentikan jangkitan Covid-19 dilihat sukar berikutan kemunculan varian baharu dari semasa ke semasa, daripada varian Delta hinggalah kepada Lambda dan yang terkini Omicron. Pada waktu dan ketika ini, adalah tidak mengejutkan sekiranya varian baharu akan atau telah muncul.

Kemelut ini tidak eksklusif untuk Malaysia. Seluruh dunia berkongsi masalah yang sama. Bagaimanapun, bermula awal tahun 2022 negara-negara Eropah mula membuka sektor ekonomi mereka secara besar-besaran.

Secara relatifnya, Eropah merupakan benua yang paling terkesan teruk dengan Covid-19 daripada segi jumlah kes. Namun, mereka memilih untuk move on. Kini giliran Malaysia pula.

Sebaik jam menunjukkan pukul 12 tengah malam, 1 April, sebak tangisan dan sorak kegembiraan memenuhi Kompleks CIQ Singapura. Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua yang sekian lama sepi kembali bingit.

Di ibu kota pula, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) meriah seakan malam raya. Sedari semalam, deretan kenderaan beratur panjang di Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Utara-Selatan.

Malaysia kembali bernyawa. Buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, Malaysia menghampiri norma asal. Bersesak-sesak di pusat imigresen, lebuh raya dan Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah budaya Keluarga Malaysia.

1 April juga merupakan detik permulaan bagi premis-premis perniagaan yang berkenaan dibenarkan untuk beroperasi selama 24 jam. Menurut Majlis Keselamatan Negara, peraturan ini termaktub ke atas semua premis perniagaan kecuali pusat hiburan atau kelab malam yang masih dikekalkan dalam senarai negatif.

Berita ini sudah tentu disambut baik semua. Restoran mamak kini kembali beroperasi selama 24 jam. Sama ada sedar atau tidak, ‘lepak mamak’ sudah sinonim dengan rakyat Malaysia. Sepanjang 2 tahun bergelut dengan Covid-19, aktiviti di restoran mamak sedikit terbatas. Selepas ini, kita boleh kembali bersahur, menonton perlawanan bola sepak dan melepak di restoran mamak selepas jam 12. Norma asal semakin menghampiri.

Bermula 1 April juga, rakyat Malaysia boleh memohon pengeluaran khas setinggi RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 hari, wang tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pilihan pencarum. Instrumen pengeluaran khas KWSP sudah 3 kali dilaksanakan sebelum ini menerusi i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari dengan jumlah keseluruhan mencecah RM 101 billion.

Bagaimanapun, siri pengeluaran sebelum ini tidak dapat dioptimumkan ke dalam pasaran tempatan memandangkan sektor ekonomi yang terkongkong dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hal ini yang benar-benar membezakan pengeluaran khas kali ini dengan yang sebelumnya. Pasca 1 April, ekonomi sudah dibuka. Rakyat sudah bekerja. Sebelum ini, pengeluaran wang KWSP terpaksa dibuat sebagai pengganti gaji memandangkan sebahagian besar rakyat terkurung tanpa kerja di rumah.

Pengeluaran yang terbaru ini pula boleh disuntik terus kepada peniaga-peniaga tempatan di bazaar Ramadhan, bakeri dan butik baju. Wang yang diambil daripada tabungan KWSP akhirnya disalurkan ke dalam kitaran ekonomi tempatan.

Kita sudah tepu dan jemu dengan pandemik yang seolah-olah tidak berpenghujung. Pembukaan ekonomi bermula 1 April sudah tentu akan memberi impak maha lumayan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang boleh dibilang dengan angka.

Namun, kesan yang lebih besar adalah impak terhadap moral rakyat yang subjektif tanpa sebarang kayu ukur.

Kita sudah boleh berbelanja di bazar Ramadhan, beraya bersama keluarga dan berkunjung ke negara seberang. 1 April akan diingati Keluarga Malaysia sebagai tarikh permulaan Malaysia menghampiri norma asal. – 3 April, 2022.


* Johan Mat, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen