Najib gesa hentikan kenderaan asing beli petrol murah di Malaysia


Bekas perdana menteri Najib Razak berkata pihak berkuasa dan pengusaha stesen minyak mesti terus memantau dan menghentikan penyalahgunaan ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

KENDERAAN bernombor pendaftaran asing tidak boleh dibenarkan mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata pihak berkuasa dan pengusaha stesen minyak mesti terus memantau dan menghentikan penyalahgunaan ini, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan Malaysia berkuat kuasa 1 April.

“Jika warga asing isi 40 liter RON95 sahaja, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, saya percaya pihak berkuasa dan stesen-stesen minyak Malaysia akan memantau dengan lebih rapi,” katanya dalam satru kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kepada gambar tular sebuah kenderaan dari negara jiran sedang diisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak tempatan.

Kerajaan memberi subsidi harga runcit RON95 dan diesel, masing-masing pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Berikutan pemberian subsidi ini, kenderaan asing tidak dibenarkan membeli RON95 dan diesel.

Bagaimanapun tiada larangan untuk petrol RON97 kerana harga runcitnya tidak disubsidi oleh kerajaan.

Harga runcit untuk RON97 minggu ini ialah RM3.91.

Harga bahan api telah meningkat sejak perang Rusia-Ukraine bermula pada akhir Februari.

“Petrol RON95 adalah bahan kawalan sebab diberi subsidi yang tinggi. Adalah melanggar Akta Kawalan Bekalan kerajaan jika menjual RON95 kepada warga asing,” kata Najib.

Beliau berkata RON95 bersubsidi adalah harga ke-11 termurah di dunia, malah lebih murah daripada di beberapa negara pengeluar minyak terbesar.

Katanya walaupun RON97 dijual pada harga RM3.91 seliter, ia adalah jauh lebih murah berbanding banyak negara lain.

Beliau berkata di Singapura, RON95 dijual pada harga S$3.02 (RM9.37) seliter manakala RON97 pada S$3.51 (RM10.90). – 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen