Yaman laksana gencatan senjata 2 bulan


Peperangan di Yaman mengorbankan ratusan ribu nyawa secara langsung atau tidak langsung dan menyebabkan jutaan orang hilang rumah, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – Gambar EPA, 3 April, 2022.

DUA pihak bertelagah di Yaman akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata di seluruh negara selama dua bulan, kali pertama diadakan sejak 2006, bagi menghormati kehadiran Ramadan semalam.

Pelbagai pihak termasuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap gencatan senjata antara tentera sekutu kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Huthi yang disokong Iran dapat bertahan lama.

Wakil khas PBB Hans Grundberg berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata selama dua bulan, yang berkuat kuasa pada hari pertama Ramadan.

Grundberg berkata gencatan senjata selama dua bulan bermula meliputi semua operasi tentera darat, udara dan tentera laut harus dihentikan.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bertemu dan membuka jalan di Taez dan bahagian lain.

“Gencatan senjata boleh diperbaharui dengan persetujuan kedua-dua pihak.

“Kejayaan inisiatif ini akan bergantung kepada komitmen berterusan pihak yang bertelagah untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dengan langkah kemanusiaan yang disertakan.

“Saya juga berharap niat baik yang kita lihat dari semua pihak secara terbuka akan diterjemahkan kepada pengurangan jangka panjang retorik media yang menghasut dan ucapan kebencian,” katanya.

PBB berkata peperangan di Yaman mengorbankan ratusan ribu nyawa secara langsung atau tidak langsung dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Jurucakap tentera Huthi, Yahya Saree mengesahkan komitmen mereka untuk menghentikan operasi ketenteraan secara menyeluruh selagi pihak lain mematuhi perkara itu.

Gencatan senjata sebelum ini tidak berkesan apabila ia dilanggar menjelang rundingan damai pada April 2016, begitu juga gencatan senjata lain pada tahun itu.

Perjanjian 2018 untuk menghentikan permusuhan di sekitar Pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak sekali gus menyaksikan talian hayat bagi negara termiskin di dunia Arab itu, juga diabaikan. – AFP, 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen