Mayat bergelimpangan di jalanan di Ukraine


Mayat seorang lelaki kelihatan di sebuah jambatan di Irpin yang diserang tentera Russia. Orang ramai meninggalkan kereta di tepi jalan ketika serangan berlaku. – Gambar EPA, 3 April, 2022.

MAYAT kelihatan bersepah di jalan raya tiga lorong yang sepi di bandar Bucha.

Semuanya 20 mayat berpakaian orang awam, dan berada dalam pelbagai posisi. Ada yang terbaring mata memandang langit Ukraine, ada yang tertiarap di jalan raya.

Ada tiga mayat di basikal, sementara ada juga yang ada bekas peluru dan dilanggar kereta.

Ada seorang tangannya terikat di belakang dengan kain putih dan pasportnya – pasport Ukraine terbuka di sisi mayatnya, kata wartawan di tempat kejadian.

Tentera Russia melakukan pencerobohan dan menyerang Ukraine sejak 24 Februari.

“Semua orang ini ditembak, dibunuh di belakang kepala,” kata Datuk Bandar Anatoly Fedoruk.

Sebanyak 280 mayat lain dikebumikan di kubur besar di Bucha sementara mayat satu keluarga masih menunggu giliran, katanya.

Dikelilingi hutan pokok pain hingga ke Belarus, Bucha dianggap bandar sunyi pinggir bandar di barat laut ibu kota Ukraine, hinggalah ia diceroboh dan diserang tentera Russia.

Sebulan ia berperang, bandar seperti Bucha dan Irpin mencegah tentera Moscow daripada mengepung Kyiv, bandar yang terletak kira-kira 25km dari situ. – AFP, 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen