Hujan lebat di Brazil, 14 terbunuh


Sekurang-kurangnya 14 terbunuh termasuk lapan kanak-kanak sdalam insiden banjir dan tanah runtuh terbaru di Brazil. – Gambar EPA, 3 April, 2022.

HUJAN lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di Rio de Janeiro, Brazil menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh termasuk lapan kanak-kanak sementara lima yang lain masih hilang, kata pihak berkuasa.

Hujan lebat selama dua hari menyebabkan jalan ditenggelami air di bandar pantai Atlantic, dalam kejadian terbaru ribut di Brazil, di mana pakar berkata keadaan bertambah teruk akibat perubahan cuaca.

Hujan diramalkan terus melanda wilayah itu dalam beberapa hari ini.

Mangsa yang maut termasuk seorang ibu dan enam anaknya, yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di rumah mereka, kata pihak berkuasa.

Presiden Jair Bolsonaro berkata kerajaan menghantar pesawat tentera bagi membantu operasi menyelamat dan mengerahkan setiausaha bertindak bencana negara Alexandre Lucas ke kawasan terjejas membabitkan populasi 17.5 juta.

Insiden terbaru itu berlaku enam minggu selepas banjir kilat dan tanah runtuh menyebabkan 233 terbunuh di bandar pelancongan Petropolis.

Kali ini kawasan terjejas teruk ialah bandar pelancong di Paraty, bandar kolonial di tepi pantai yang terkenal dengan pemandangan indah jalan dengan turapan batu bulat dan rumah berwarna-warni.

Enam lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak terbunuh di bandar Angra dos Reis, di mana pihak berkuasa umum langkah berjaga-jaga yang maksimum dan darurat selepas tanah runtuh memusnahkan kawasan Monsuaba.

Beberapa mangsa berjaya diselamatkan, sementara lima individu masih hilang. – AFP, 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen