Pelancong India, China diharap bantu pulih industri, kata persatuan


Khoo Gek San

Pengusaha pelancongan menantikan kedatangan pelancong dari China bagi melonjakkan sektor itu yang terjejas teruk akibat pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

INDUSTRI pelancongan berharap pelancong dari India dan China akan membantu mereka memacu pemulihan industri ketika negara melangkah ke fasa peralihan endemik Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata banyak pengendali pelancongan optimis ini masa yang lebih baik dan merancang menghadapi bulan mendatang dengan penuh semangat.

Katanya, pembukaan sempadan pada Jumaat lalu berbeza dengan gelembung pelancongan Langkawi.

Beliau berkata walaupun Langkawi mengalu-alukan lebih 600 pelancong Eropah di bawah gelembung perjalanan, beliau mendakwa kebanyakan mereka datang untuk bersama saudara-mara mereka di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, pelancong yang tiba sekarang, selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah mereka yang benar-benar ingin melancong dan berbelanja termasuk menginap di hotel dan menikmati masakan tempatan.

Uzaidi berkata mereka menerima banyak pertanyaan daripada pelancong India tetapi menyatakan pasaran bergantung kepada pelancong China.

“Ia satu penerbangan singkat dari India ke Malaysia, jadi kami menerima banyak pertanyaan daripada agensi pelancongan India.

“Satu-satunya masalah adalah permohonan visa India. Mujur pihak Imigresen bersedia membantu memendekkan dan mempercepatkan masa untuk mendapatkan visa.

“Pelancong China masih menjadi pasaran yang paling kami nantikan. Memandangkan beberapa bahagian China masih dalam ‘lockdown’, dan orang China masih perlu dikuarantin selama 20 hari selepas kembali ke negara mereka, ia akan mengambil sedikit masa untuk menjangkakan trafik pelancong yang tinggi dari China.

“Ramai orang India mampu berbelanja. Sebagai tambahan kepada pakej biasa, kami akan melancarkan pakej jamuan perkahwinan dan sambutan terhadapnya agak menggalakkan,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.

Pelancong yang tiba selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah mereka yang benar-benar ingin melancong dan berbelanja termasuk menginap di hotel, kata persatuan. – Gambar EPA, 4 April, 2022.

Sebelum penutupan sempadan antarabangsa, kira-kira 735,309 pelancong India melawat Malaysia pada 2019 dan mencatat kira-kira 3,114,257 ketibaan dari China.

Uzaidi berkata satu lagi sumber pelancong adalah Timur Tengah tetapi dengan Ramadan bermula pada Ahad, industri menjangkakan sektor ini akan meningkat selepas Hari Raya.

“April sudah Ramadan dan dijangkakan jumlah pelancong tidak ramai. Kita harap pelancong dari negara Arab akan bertambah selepas Hari Raya nanti.”

Beliau berkata, pemain industri juga melihat ke hadapan dan mengusahakan pakej pelancongan musim sejuk ditujukan kepada pelancong Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kami juga mula merancang pakej pelancongan musim sejuk. Pelancong Eropah dan Amerika akan pergi ke negara Asia semasa musim sejuk.”

“Kami sudah ketinggalan di belakang Thailand, Phuket, Indonesia dan negara lain. Kini kami cuba mengejarnya,” katanya.

Uzaidi berkata kebanyakan pemain industri tempatan sudah bersedia untuk kemasukan itu tetapi terdapat dua isu kecil yang perlu diatasi mereka iaitu kekurangan bas persiaran dan pemandu.

Memandangkan wabak Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya, beliau berkata ramai pengusaha bas pelancongan tidak tergesa-gesa memperbaharui cukai jalan mereka dan melakukan penyelenggaraan kenderaan kerana ia boleh menelan kos kira-kira RM10,000 satu bas dan terdapat juga kekurangan pemandu bas profesional.

Uzaidi mendapati ia masalah yang harus diselesaikan segera.

“Dalam kalangan ahli kami, hanya 20% daripada pengusaha bas persiaran bersedia memperbaharui cukai jalan dan menyelenggara bas mereka. Satu tayar berharga RM1,200 jadi bukan jumlah kecil untuk menggantikan 6 tayar. Perkara yang paling membimbangkan adalah sama ada pelancong datang atau tidak,” katanya.

Di samping itu, Uzaidi mendedahkan dalam tempoh peralihan ini, hotel menukar model kerjasama mereka dengan pengusaha pelancongan yang mana mereka tidak menandatangani kontrak jangka panjang.

Beliau berkata dengan kos lain yang meningkat, ia menyukarkan pengusaha pelancongan untuk bertindak tergesa-gesa. – 4 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen