POLIS menahan lapan individu warga tempatan termasuk sepasang suami isteri semalam kerana disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang serta merampas ganja seberat hampir 7.5 kilogram dianggarkan bernilai RM41,550.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata semua suspek yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita itu berusia 19 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap sepasang suami isteri hasil serbuan di tepi Jalan Robertson, Bukit Bintang pada jam 4.10 petang dan merampas dadah jenis ganja seberat 1,893 gram.
Katanya, hasil soal siasat ke atas pasangan terbabit membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang wanita melalui dua serbuan di sekitar Lembah Klang dan merampas ganja seberat 5,588gm.
“Sindiket ini dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan dipercayai aktif sejak November lalu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noor Dellhan berkata, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 14,962 orang penagih dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1985 dan semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini (2 April) hingga 8 April,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan pengedaran atau penagihan dadah dan menyalurkan sebarang maklumat kegiatan dadah dan jenayah kepada Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-221159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama, 2 April, 2022.
Komen