INDIA dan Australia hari ini menandatangani perjanjian untuk memperluas hubungan dagangan.
Perjanjian Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan India-Australia itu ditandatangani Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal dan rakan sejawatannya Dan Tehan dalam satu majlis secara maya.
Majlis itu turut disaksikan Perdana Menteri Narendra Modi dan rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison.
“Ini adalah detik penting untuk hubungan dua hala kami.
“Di bawah perjanjian itu kami akan dapat meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan juga menyumbang kepada kestabilan rantau Indo-Pasifik,” kata Modi dalam satu kenyataan.
Morrison berkata perjanjian itu dibina “atas perkongsian keselamatan kami yang kukuh dan usaha bersama di bawah pakatan Quad”.
“Perjanjian ini membuka laluan lebih luas untuk perkembangan ekonomi petani di Australia, pengilang, pengeluar dan banyak lagi,” katanya.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia, tarif akan dihapuskan ke atas lebih 85 peratus eksport barangan Australia ke India, meningkat kepada hampir 91 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Goyal berkata dagangan dua hala untuk barangan dan perkhidmatan mungkin mencecah $45 hingga $50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbaniding $27.5 bilion pada 2021. – Bernama, 2 April, 2022.
Komen