Pendaki veteran Perancis cari laluan, rekod baharu Everest


Pendaki Perancis berusia 70 tahun Marc Batard berhasrat menjadi orang tertua mendaki Gunung Everest tanpa oksigen tambahan. – Gambar AFP, 2 April 2022.

PENDAKI dari Perancis berusia 70 tahun menyasarkan untuk muncul individu tertua mendaki Gunung Everest tanpa oksigen tambahan dan pada masa sama mencari laluan baharu yang lebih selamat.

Marc Batard mahu meneroka cara baharu mengelilingi Air Terjun Khumbu yang berbahaya namun perlu dilalui oleh semua pendaki untuk ke puncak tertinggi dunia dari sebelah Nepal.

Hamparan ais glasier yang berbahaya dan sentiasa berubah-ubah yang memerlukan pendaki melalui celah-celah tangga yang tidak stabil serta sudah meragut lebih 40 nyawa.

Pada 2014, bongkah ais besar memecah glasier yang tergantung dan meluncur ke dalam air terjun, membunuh 16 pemandu arah Nepal dalam salah satu tragedi terburuk di Everest.

“Terlalu ramai orang mati di sana,” kata Batard di Kathmandu, ibu negara Nepal sebelum berlepas.

“Projek ini bukan untuk saya sahaja. Saya sangat gembira untuk mendaki Everest semula. Tetapi saya mahu menggunakan reputasi saya untuk melakukan beberapa perkara yang baik… laluan baharu ini bukan mudah tetapi lebih selamat,” katanya.

Batard berusia 18 tahun ketika dia mula mendaki pergunungan Pyrenees yang melintasi sempadan Perancis dan Sepanyol, dan mula bekerja sebagai pemandu gunung.

Dia kali pertama memasuki buku rekod pada 1988 apabila menjadi individu tunggal tiba di puncak gunung tertinggi di dunia tanpa oksigen dalam masa kurang 24 jam.

Pendakian solonya selama 22.5 jam membolehkannya mendapat gelaran Sprinter.

Batard juga menjadi tajuk utama pada 1980-an kerana mendaki beberapa gunung setinggi 8,000 meter.

Kembali daripada persaraan baru-baru ini, Batard kini berharap untuk mencapai puncak Everest setinggi 8,848.86 meter buat kali ketiga.

Dia akan berkhemah di Gorakshep pada ketinggian 5,150 meter, jauh daripada ratusan pendaki Everest di bandar khemah biasa di kem pangkalan.

Laluan baharu itu merentasi kaki bukit bersebelahan Nuptse ke puncak yang tidak dinamakan dan Batard bersama pasukannya perlu turun ke bawah jika mereka mahu menyertai laluan biasa di Western Cwm.

“Kami sudah menetapkan sebahagian daripada laluan… Batard adalah pendaki yang kuat dan berpengalaman, jadi kami harap boleh berjaya,” kata rakan sepasukan Pasang Nuru Sherpa, 47, yang mendaki Everest sebanyak 14 kali.

Batard dan Sherpa, 47, kedua-duanya akan disertai oleh anak lelaki mereka - berumur 26 dan 42 - dalam ekspedisi itu.

Jika berjaya, Batard akan memecahkan rekod pendaki Itali Abele Blanc, yang mencapai puncak Everest pada 2010 pada usia 55 tahun tanpa sokongan oksigen.

Individu tertua mendaki Everest dengan sokongan oksigen adalah pendaki Jepun Yuichiro Miura.

Dia berusia 80 tahun ketika mencapai puncak pada 2013. – AFP, 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen