Ecuador sedia pamer aksi menarik menentang Qatar di Piala Dunia 2022


Enner Valencia (tengah) dari Ecuador meraikan kemenangan bersama rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol 1-1 untuk kelayakan ke Piala Dunia Fifa Qatar 2022. – Gambar EPA, 2 April, 2022.

PASUKAN bola sepak Ecuador menyifatkan peluang beraksi pada pembukaan Piala Dunia Fifa tahun ini sebagai satu kesempatan yang amat “cantik”, lapor agensi berita Xinhua.

Undian Piala Dunia pada Jumaat di Doha menyaksikan Ecuador, Senegal, Belanda dan tuan rumah Qatar berada dalam Kumpulan A.  

Ecuador bakal bertemu Qatar dalam perlawanan pembuka tirai yang akan berlangsung di Stadium Al-Bayt di Al Khor pada 21 November.

“Saya gugup (menunggu undian) tetapi ia akan menjadi peluang kami beraksi di pembukaan Piala Dunia dan akan dikenang sebagai pengalaman indah untuk kita semua,” kata kapten pasukan Ecuador, Enner Valencia menerusi temu bual yang disiarkan di media sosial.

Beliau berkata pasukannya perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. 

“Kami sedar perlawanan pertama Piala Dunia adalah paling penting dan kami perlu mempamerkan aksi menarik untuk menang. 

“Aksi bertemu Senegal antara yang perlawanan paling mencabar dan ... Belanda antara pasukan terkuat dalam kumpulan kerana reputasi dan sejarah mereka,” katanya.

Ecuador membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia sejak kejohanan 2014 di Brazil. – Bernama, 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen