Abbas lawat Rusia cari sokongan lawan AS-Israel


Mahmud Abbas dijadualkan melawat Vladimir Putin di Rusia hari ini dua minggu selepas Netanyahu mengadakan lawatan bagi mendapatkan sokongan berkaitan pengiktirafan Amerika Syarikat ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. – Gambar AFP, 12 Februari, 2018.

PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas melawat Rusia hari ini dalam usaha mendapatkan sokongan Presiden Rusia Vladimir Putin susulan tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Pemimpin Palestin itu dijadualkan melawat Moscow dua minggu selepas lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Abbas menolak sebarang hubungan dengan pentadbiran Presiden AS Donald Trump sejak Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel hujung tahun lepas. Abbas dijadualkan berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Februari depan.

Palestin menganggap keputusan AS yang melanggar diplomasi antarabangsa sebagai penafian kepada tuntutan mereka ke atas Baitulmaqdis Timur sebagai bakal ibu kota Palestin.

Israel menakluk Baitulmaqdis Timur pada Perang Enam Hari 1967 dan kemudiannya mengisytiharkannya sebagai ibu kota negara itu.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley menuduh Abbas tidak berani mengadakan perjanjian damai dengan Israel.

Sebagai balasan, Abbas menolak semua usaha dilakukan Washington bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan berjanji kepada rakyatnya yang beliau akan berusaha keras mendapatkan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara sah daripada PBB.

Alexander Shumilin, seorang sarjana pengajian Timur Tengah di Institut Kajian AS dan Kanada menyifatkan lawatan Abbas sebagai “cubaan berbaik-baik dengan Rusia, rakan sekutu konsisten yang  menghentikan Netanyahu meraih sokongan Moscow ketika hubungan Rusia-Israel bertambah baik”.

Netanyahu melawat Rusia pada 29 Januari dan bersama-sama Putin menghadiri majlis di muzium Yahudi di Moscow untuk mengenang mangsa kem Nazi. Beliau mengambil peluang itu untuk memburukkan Iran menuduhnya mahu “menghancurkan” Israel.

Memandangkan hubungan Washington dan Moscow kini berada pada tahap terburuk selepas era Perang Dingin, Abbas mungkin mengharapkan “hubungan AS-Rusia bertambah buruk dan Rusia bertindak untuk menyakitkan AS”, kata Shumilin.

Pada 29 November 2012, PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan ahli selepas undi Majlis Keselamatan.

Ini membolehkan Palestin menyertai organisasi antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa walaupun ia masih belum diterima sebagai ahli penuh PBB.

Negara Palestin diiktiraf oleh lebih 130 buah negara. – AFP, 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen