Piala Dunia 2022: Sepanyol, Jerman diundi dalam kumpulan sama


Piala Dunia akan diadakan dari 21 November hingga 18 Disember menyaksikan 32 pasukan akan bertanding merebut piala berprestij itu. – Gambar EPA, 2 April, 2022.

BEKAS juara Piala Dunia Sepanyol (2010) dan Jerman (2014) diundi dalam kumpulan sama untuk perlawanan Piala Dunia Qatar 2022, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kedua-dua pasukan itu akan berada dalam Kumpulan E bersama Jepun dan pemenang playoff sama ada Costa Rica atau New Zealand. 

Sementara itu, juara dunia 2018 Perancis pula berada dalam Kumpulan D, bersama Denmark, Tunisia dan pemenang playoff antara Peru atau Australia/Emiriah Arab Bersatu.

Pada majlis undian itu maskot Qatar 2022 ‘La’eeb’ turut diperkenalkan dan juga lagu “Hayya Hayya” (Better Together). 

Qatar selaku tuan rumah diundi dalam Kumpulan A  dan bakal menentang Ecuador dalam perlawanan pembukaan pada 21 November.

Piala Dunia akan diadakan dari 21 November hingga 18 Disember menyaksikan 32 pasukan akan bertanding merebut piala berprestij itu. – Bernama, 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen