5 maut, 20 cedera letupan bom di Afghanistan


Seramai 20 mangsa letupan di barat Afghanistan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – Gambar EPA, 2 April, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA lima orang terbunuh dan 20 lagi cedera apabila dua bom meletup di bandar Herat di barat Afghanistan pada Jumaat, kata pegawai.

Kejadian berlaku pada sebelah petang ketika sekumpulan remaja dan kanak-kanak berkumpul untuk bermain di kawasan tempat bom diletakkan.

“Lima terbunuh dan 20 yang lain cedera,” kata Sabit Harwi, jurucakap pejabat perisikan di Herat, kepada AFP.

Harwi berkata polis tempatan berjaya menyahaktif dua lagi bom yang ditemui di kawasan itu.

Beliau berkata seluruh kawasan itu dibersihkan dengan mengeluarkan semua senjata yang tidak meletup susulan tinggalan perang dan bom yang meletup pada Jumaat nampaknya ditanam sejurus sebelum kumpulan itu datang untuk bermain.

Ibrahim Mohammadi, ketua perkhidmatan ambulans Herat, mengesahkan jumlah korban dan berkata yang maut termasuk seorang kanak-kanak.

Herat ialah bandar ketiga terbesar di negara itu, berhampiran sempadan Iran, tetapi kekal aman selama beberapa minggu.

Pada Januari, bom yang dipasang pada tangki minyak sebuah bas mini mengorbankan tujuh orang di kawasan yang didiami komuniti Syiah minoriti di bandar itu.

Keselamatan di Afghanistan bertambah baik sejak pemberontakan selama dua dekad oleh Taliban berakhir dengan kejayaan mereka menawan Kabul pada Ogos.

Bagaimanapun, terdapat serangan dilaporkan di negara itu, termasuk beberapa yang didakwa dilakukan Isis.

Sementara itu dalam kejadian berasingan pada awal Jumaat, lima kanak-kanak terbunuh apabila peluru mortar secara tidak sengaja meletup di wilayah selatan Helmand, kata Mohammad Qasim Riaz, seorang pegawai dengan jabatan penerangan dan kebudayaan, memberitahu AFP. – AFP, 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen