314 kes penipuan menyamar rakan media sosial, rugi lebih RM2 juta


SEJUMLAH 314 kes penipuan dengan menyamar sebagai rakan atau kenalan menerusi media sosial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac lalu membabitkan kerugian lebih RM2 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menggodam akaun media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook milik individu tertentu, kemudian menyamar sebagai pemilik akaun berkenaan.

Penyamar itu kemudian menghubungi semua rakan pemilik asal akaun berkenaan untuk meminjam sejumlah wang.

“Sejak awal tahun ini, sindiket terbabit didapati mula melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram milik mangsa seterusnya menghubungi senarai rakan mangsa untuk meminjam wang.

“Pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses ataupun menerima panggilan daripada kenalan yang bertanya mengenai kesahihan peminjaman wang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai langkah pencegahan, Mohd Kamarudin menasihati pengguna akaun Telegram untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan ‘two-step verification’ di akaun Telegram masing-masing.

Katanya melalui tetapan itu, tahap keselamatan akaun Telegram akan dipertingkatkan sekali gus mengelak penjenayah mengaktif akaun itu melalui peranti lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah percaya kepada mesej yang diterima daripada kenalan terutama apabila membabitkan pinjaman wang dan akaun bank yang digunakan milik individu lain,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101599. – Bernama, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen