TONGA mengisytiharkan darurat berikutan taufan kuat dijangka akan melanda negara kepualuan Pasifik itu selepas membadai negara jirannya, Samoa.
Pemangku perdana menteri Semisi Sikaa mengeluarkan amaran di seluruh negara berkenaan dan berkata beliau “berpuas hati darurat diiisytiharkan di negara itu” sebagai langkah persediaan untuk rakyat.
Taufan Gita semakin berkembang apabila ia menghampiri dan Perkhidmatan Meteorologi Fiji meramalkan ia akan berubah kepada ribut tahap maksimum iaitu kategori lima sebelum smapai ke Tonga pada malam Isnin.
Ribut tropika itu membawa angin berkelajuan 220 kilometer sejam dan ia dilaporkan semakin kuat di 370 kilometer timur pulau yang paling ramai penduduk di Tonga, Tongatapu.
Pusat Kaji Cuaca Fua’amotu Tonga memberi amaran kepada penduduk untuk bersedia untuk kemungkinan menghadapi “angin taufan yang paling buruk dan memusnahkan”.
Gita membadai Samoa semalaman pada Jumaat, memaksa lebih 200 penduduk berpindah selain menyebabkan banjir dan bekalan elektrik terputus.
Kementerian penerangan Tonga berkata, pusat pemindahan sedang disediakan di seluruh negar itu dan penduduk dinasihatkan agar mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak penting.
“Setiap keluarga perlu memiliki kit kecemasan di kediaman mereka,” katanya.
“Semua perlu diingatkan bahawa kemusnahan mungkin akan berlaku kepada kediaman mereka kerana pokok yang besar boleh tumbang dalam ribut ini.”
Kejadian ribut taufan merupakan perkara biasa di Pasifik pada ketika ini.
Taufan Winston yang melanda Pasifik sebelum ini menyebabkan 44 orang terbunuh di Fiji pada 2016 dan Taufan Pam meragut 11 nyawa dan memusnahkan 65,000 kediaman di Vanuatu pada 2015. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen