-2.jpg)
PENDEDAHAN Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mukhriz Mahathir semalam (Khamis) berkenaan pertemuan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mahiaddin Md Yasin baru-baru ini telah diulas lanjut oleh Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (Jumaat).
Dr Mahathir mendedahkan wujud permintaan daripada presiden Bersatu itu untuk mewujudkan gabungan parti politik baharu menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selain rayuan bagi mendapatkan sokongan buatnya untuk kembali menjadi perdana menteri.
Respons pantas daripada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu seperti yang dilaporkan media ada menyatakan agar Dr Mahathir merendahkan ego dan bekerjasama demi rakyat bagi menghalang kluster mahkamah kembali berkuasa.
Suka saya tegaskan kepada ahli MPT Bersatu tersebut dan parti itu keseluruhannya isu keegoan melibatkan Dr Mahathir tidak timbul sama sekali dalam hal ini. Krisis politik yang sedang dihadapi negara dan kelemahan Bersatu sudah diingatkan lebih awal oleh Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu sebelum beliau dipecat. Ingatan dan amaran itu diulang berkali-kali oleh Dr Mahathir dan kepimpinan ketika itu akan risiko yang bakal dihadapi negara dan Bersatu.
Semua nasihat dan ingatan itu ditolak mentah-mentah oleh Mahiaddin dan disusuli pembatalan keahlian Pengerusi Bersatu itu pada 28 Mei 2020 melalui sepucuk surat yang hanya ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu. Adakah ahli Bersatu dan ahli MPT itu mudah lupa atau buat-buat lupa?
Keangkuhan dengan menggunakan kuasa eksekutif digarap dari segenap segi untuk memecat serentak ratusan ahli Bersatu pada 15 Ogos 2020. Setelah mempamerkan kegilaan kuasa itu, Bersatu dan ahli MPT itu masih punya harga diri ‘menasihati’ Dr Mahathir untuk merendahkan ego?
‘Nasihat’ agar kerjasama itu terjalin juga didakwa adalah bagi menghalang kluster mahkamah kembali berkuasa. Sekali lagi saya merasa kagum dengan sikap tidak tahu malu yang ada pada sebahagian pimpinan parti itu. Bukankah Dr Mahathir secara bersemuka mengingatkan Mahiaddin penukaran kerajaan dengan sokongan Umno yang diketuai ahli-ahli Parlimen kluster mahkamah itu bakal menjadikan mereka kuat dan berkuasa kembali? Lupakah mereka dengan nasihat terbuka itu?
Melalui Langkah Sheraton 2020 yang digerakkan Mahiaddin, Bersatu dan konco-konconya telah menjadikan kluster mahkamah itu ‘bernyawa kembali’ dan tindakan itu bukan salah mana-mana pihak lain tetapi Bersatu sendiri.
Bersatu wajib berhenti daripada terus bersikap angkuh dan mengakui kesilapan mereka yang memilih untuk mengkhianati mandat rakyat, degil, sombong, salah guna kuasa, rasuah dan korupsi dengan mengambil langkah bermaruah yang sebenarnya sebelum berbicara tentang ‘keegoan’ pihak lain termasuk ‘menegur’ Dr Mahathir Mohamad dalam hal ini.
Pejuang masih belum memuktamadkan lagi apa-apa hala tuju ke hadapan dalam mendepani PRU-15. Kesepaduan kekuatan parti politik melawan kluster mahkamah adalah penting dan tidak dapat dinafikan. Namun, menerima mudah kumpulan pengkhianat, kaki rasuah dan pengamal korupsi ‘scheme of things’ adalah bukan sama sekali pilihan Pejuang buat masa ini untuk membina semula Malaysia sebagai Asian Tiger.
Dr Abu Hafiz Saleh Hudin
Ketua Pejuang Muda, Parti Pejuang Tanahair
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen