SEBUAH kereta kuda akan membawa Putera Harry dan tunangnya warga Amerika Meghan Markle melalui jalan raya utama di Windsor selepas perkahwinan mereka di istana pada Mei nanti, kata Istana Kensington semalam.
Selepas majlis tengahari di Gereja St George, pasangan pengantin baru itu akan mengadakan “perjalanan pendek” menggunakan kereta kuda yang dijangka meninggalkan istana sekitar jam 1 petang, katanya.
“Putera Harry dan Meghan Markle sangat berterima kasih kepada banyak ucapan tahniah yang diterima sejak mengumumkan pertunangan mereka,” kata istana dalam satu kenyataan.
“Mereka tidak sabar menanti hari perkahwinan untuk berkongsi kebahagian dengan rakyat.
“Mereka berharap perjalanan singkat itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk berkumpul di sekitar Windsor dan menikmati suasana hari istimewa itu.”
Archbishop Canterbury Justin Welby akan mengendalikan majlis akad nikah pada 19 Mei itu dan Dean of Windsor David Corner akan mengendalikan majlis sambutan, kata istana lagi.
Selepas majlis itu, pasangan dan tetamu akan pergi ke Dewan St George untuk majlis resepsi, pasangan pengantin akan menyertai tetamu selepas tamat upacara perarakan kereta kuda itu.
Di sebelah petangnya, Putera Charles akan mengadakan sebuah lagi majlis resepsi untuk pasangan serta “kawan rapat dan keluarga diraja”, katanya lagi.
Harry dan Markle mengumumkan pertunangan mereka pada November lalu dan sejak itu sudah beberapa kali muncul di khalayak awam disambut meriah rakyat.
Tidak lama selepas pengumuman pertunangan itu, jurucakap diraja mengesahkan yang pasangan itu memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan di Windsor, istana hujung minggu Ratu Elizabeth II. – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen