Tragedi selubungi sambutan karnival di Bolivia 


Anggota pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan di kawasan letupan tabung gas di bandar Oruro, Bolivia. Lapan orang dilaporkan maut manakala 47 orang lagi cedera dalam kejadian itu.– Gambar EPA, 12 Februari, 2018.

PERAYAAN karnival di Bolivia pada hujung minggu lalu diselubungi tragedi apabila 21 orang dilaporkan terbunuh dan 72 lagi cedera, kata pihak berkuasa pada Ahad. 

Di bandar Oruro yang terkenal dengan perayaan itu, sebuah tangki gas meletup menyebabkan lapan orang terbunuh dan 47 lagi cedera. 

Kebanyakan yang lain terbunuh akibat kemalangan bas dan jalan raya sepanjang karnival itu berlangsung, kata polis dan pihak berkuasa tempatan. 

Di Oruro, kira-kira 25,000 penari mengambil bahagian dalam perayaan itu menjadikan ia sebagai tarikan pelancong terbesar dengan lebih setengah juta pengunjung ke bandar berkenaan. 

Perayaan di sepanjang bandar ini merupakan gabungan tradisi kolonial Sepanyol dengan orang-orang asli kuno Inca dan Aymara dalam satu upacara bagi mendapatkan hasil pertanian dan kesihatan yang baik.

Pada tahun 2001, organisasi kebudayaan UNESCO mengisytiharkan karnival itu sebagai warisan kebudayaan. – AFP, 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen