Penduduk Shanghai berang kekurangan makanan, sekatan dilanjut


Seorang lelaki berdiri di belakang tembok sementara di perkarangan di bawah kuarantin di tengah-tengah sekatan, di bahagian Puxi di Shanghai, China. Bandar itu mengenakan sekatan ketat di tengah-tengah kebangkitan semula Covid-19. – Gambar EPA, 1 April, 2022.

PENDUDUK Shanghai meluahkan kekecewaan pada Jumaat selepas seminggu penutupan Covid, mengadu secara dalam talian tentang kekurangan makanan dan arahan duduk di rumah yang celaru.

Selepas pada mulanya berjanji untuk mengelak penutupan seluruh bandar, pegawai mengubah taktik minggu ini dan mengumumkan penutupan berperingkat yang membahagikan pusat kewangan China kepada dua supaya pihak berkuasa dapat menyaring 25 juta penduduknya.

Penutupan selama empat hari di kawasan Pudong bermula pada Isnin, diikuti dengan arahan duduk di rumah untuk zon Puxi yang padat dengan penduduk yang sepatutnya bermula pada Jumaat.

Tetapi orang ramai di kebanyakan kejiranan Puxi tiba-tiba diarah duduk di rumah pada awal Khamis, manakala sebahagian besar Pudong masih ditutup pada Jumaat, sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk di kedua-dua kawasan itu.

“Ini adalah penutupan di seluruh bandar,” kata seorang pengguna Weibo. “Banyak jalan dan kawasan Pudong masih dikenakan sekatan, hanya sedikit yang ditarik balik.”

Pihak berkuasa lewat Khamis menerbitkan pelan “pengurusan grid” untuk pembukaan semula yang akan memastikan semua kompaun kediaman ditutup di mana ujian positif ditemui.

Sekatan itu telah menyebabkan pembelian panik dan kekurangan pemandu penghantaran untuk mendapatkan makanan kepada berjuta-juta penduduk yang kini terperangkap di rumah.

Penduduk di beberapa bangunan telah melepasi sekatan dengan mengambil penghantaran yang dipasang pada tali yang diturunkan ke bawah, menurut wartawan AFP.

“Memang rumit untuk beli makanan dalam talian, kerana bilangan penghantaran terhad,” kata Sun Jian, 29, seorang penduduk di Puxi.

Tambahnya sekatan “diuruskan dengan teruk” kerana orang ramai terpaksa beratur bersama untuk ujian saringan Covid, menambah risiko penularan.

“Apa yang paling semua orang takut sekarang bukan jatuh sakit, tetapi dihantar ke bilik pengasingan di kemudahan sementara, di mana keadaannya sangat teruk,” katanya kepada AFP.

Seorang penduduk Pudong bernama Dong berkata isteri dan anak lelakinya berusia tiga tahun dibawa ke pusat kuarantin selepas disahkan positif, tetapi tidak mempunyai akses kepada air panas.

“Tiada sesiapa beritahu kami bila kuarantin akan ditarik balik,” katanya. – AFP, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen