Bergaduh kerana tandas, kapal pelayaran berpatah balik ke Sydney


Enam lelaki dan seorang wanita bergaduh di atas sebuah kapal pelayaran kerana giliran menggunakan tandas sehingga memaksa kapal itu berpatah balik ke Sydney. – Gambar AFP, 12 Februari, 2018.

SEBUAH kapal pelayaran terpaksa berpatah balik ke Sydney selepas pergaduhan tercetus disebabkan giliran menggunakan tandas.

Seorang wanita warga Rusia didakwa hari ini kerana menyerang seorang lelaki menggunakan botol wine kosong.

Pergaduhan itu tercetus antara beberapa lelaki pada awal pagi Ahad di kapal P&O ketika mereka menunggu giliran menggunakan tandas.

“Ketika pergaduhan, seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan pasangan salah seorang lelaki terlibat didakwa menyerang lelaki berusia 21 tahun dengan botol wine kosong menyebabkan kecederaan,” kata polis New South Wales.

“Pasukan keselamatan berjaya meleraikan mereka dan semua yang terlibat ditahan.”

Kapal itu dalam perjalanan tiga hari “Comedy Cruise Gala” di perairan Australia berpatah balik ke Sydney dan enam lelaki dan wanita itu diusir dan ditahan polis.

Semua lelaki dibebaskan sementara menunggu siasatan, dan wanita itu pula didakwa kerana menyebabkan kecederaan dan kekecohan.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin dan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sydney pada 9 Mac depan. – AFP, 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen